Memaparkan catatan dengan label Catatan Kuliyyah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Catatan Kuliyyah. Papar semua catatan

Rabu, 18 September 2013

Kuliah Hadith 40: Hadith Ke-2 [Bahagian 2]

Sambungan Kuliah Hadith 40: Hadith Ke-2
Disyarahkan oleh: Syaikh Feras (Syria)

Tentang Suhuf: Tidak seperti Nabi kita Muhammad (SAW) yang diturunkan kepadanya Al-Qur'an, Nabi Daud (a.s) yang diturunkan kepadanya kitab zabur, serta Nabi 'Isa (a.s) yang diturunkan kepadanya kitab Injil, suhuf-suhuf diturunkan kepada Nabi Ibrahim (a.s) dan Nabi Musa (a.s). Suhuf-suhuf ini bukanlah kitab yang sempurna, tetapi ia adalah lembaran-lembaran (serpihan) yang mengandungi ajaran-ajaran tertentu. Kesemua kitab dan suhuf ini tidak kekal kecuali Al-Qur'an, dan kesemuanya adalah rangkuman ke dalam Al-Qur'an.


Tentang keimanan kepada Rasul: Nabi seperti mana mengikut riwayat ada lebih kurang 124,000 orang, manakala Rasul pula adalah lebih kurang 360 orang. Syarat kenabian adalah mestilah:

(1) Lelaki
(2) Menerima wahyu
(3) Mempunyai syariat (Nabi: Allah s.w.t tidak mewajibkan untuk menyampaikan kepada manusia)

Seorang nabi, apabila ia diarahkan Allah supaya menyampaikan syariat, maka kedudukannya telah diangkat oleh Allah; tergolong sebagai Rasul. Hal ini sepertimana Nabi Muhammad (SAW) sendiri tatkala turunnya ayat 'iqra' masih lagi nabi yakni belum ada arahan untuk baginda menyampaikan syariat sehinggalah turunnya ayat dari surah al-muddathir 1-2, iaitu bermulalah arahan Allah s.w.t agar disampaikan syariat kepada orang lain. 

Ulul 'Azmi: Golongan rasul yang menerima paling banyak cabaran iaitu Nuh (a.s), Ibrahim (a.s), Musa (a.s), Isa (a.s) dan Muhammad (SAW). Susunan mengikut darjat di sisi Allah: Nuh

Beriman dengan hari Qiyamah: Syaikh bertanya: Limaza sumiya bi yaumil aakhir? (Mengapa ia dinamai hari akhir?) Kerana hari itu adalah hari terakhir sistem masa yang kita biasa hidup ini (24 jam sehari) sudah tamat. "The day where the dimension of time is taken away". Apabila tiada lagi sistem masa-maka apa yang berlaku adalah SELAMA-LAMANYA; bermakna ia kekal. Syaikh bertanya: Bilakah hari Akhirat bermula? Jawabnya: Ia bermula pada hari kita mati. Masa itu sudah diambil dan tamat bagi kita. Maka kita akan masuk ke alam yang lain (al-barzakh) dengan dua kesudahan sama ada tempat tinggal kita di sana adalah: Taman dari taman-taman syurga, mahupun lubang dari lubang-lubang neraka. Nau'dzubillah hi min dzaalik. 

Surau Abu Bakar Al-Siddiq
18.9.2013 bersamaan 12 Zulkaedah 1434
Kuliah disambung pada hari Sabtu

Jumaat, 13 September 2013

Kuliyah Hadith 40: Hadith ke-2

Catatan Bertulis
 Kuliyah Hadith 40 karya Al-Imam an-Nawawi: Hadith ke-2

HADITH 2

 Rumusan hadith:

1. Hadith ini merupakan gabungan perkara-perkara dasar di dalam agama Islam iaitu Islam, Iman dan Ihsan. Dengan kata lain, Islam itu tertegaknya atas dasar-dasar ini. 

2. Suasana keadaan yang digambarkan di dalam hadith: Saidina Umar r.a serta para sahabat melihat seorang lelaki datang berjubah putih, dan tiada sebarang tanda akan ia seorang yang bermusafir, kerana kebiasaan orang musafir di padang pasir pastilah paling tidak, rambutnya tidak terurus kerana angin yang meniup di padang pasir (sedangkan lelaki itu kemas rambutnya dan hitam warnanya); dan pakaiannya paling tidak pastilah punyai kekotoran, tidakpun kesan-kesan pasir mungkin melekat (namun sekali lelaki itu berjubah putih kemas). Hal ini menjadi kehairanan kepada yang hadir di dalam majlis bersama Rasulullah tersebut termasuklah Sayyiduna Umar Al-Khattab serta sahabat lainnya, kerana lelaki tersebut seolah-olah tidak datang dari jauh, datang berdekatan, namun sama sekali tiada pula mereka mengenali, dan tiada pernah melihat akannya, bahkan ia masuk dan terus duduk merapatkan kedua-dua lututnya dengan Rasulullah SAW seloah-olah akrab dan sangat mengenali. Tambahan pula, ia bertanya, namun setelah persoalan dijawab oleh Rasulullah SAW, ia pula yang mengesahkannya. Dan Sayyiduna Umar r.a serta sahabat lainnya mentelah mungkin lelaki ini bukan orang sebarangan. 

3. Tentang adab menuntut ilmu: Ulama' merumuskan bahawa hadith ini juga menunjukkan adab paling tinggi dan terbaik, dan berkah di dalam menunutut ilmu. Cara duduk seperti duduknya mailaikat Jibril a.s. merupakan adab pelajar yang ingin menerima ilmu dari gurunya; penghormatan begitulah manfaat ilmu yang ia akan terima dari gurunya. Nasihat syaikh: Satu perkara yang tidak disenangi oleh guru yang mengajar adalah jika penuntut-penuntutnya bergerak-gerak hatta bersiwak ketika pengajaran kerana ia akan mengalihkannya jauh dari perhatian.

4. Tentang Islam: Menunjukkan perbuatan secara zhahir Tentang Iman: Apabila hati kita membenarkan ajaran nabi SAW Tentang Ihsan: Kata syaikh: Iman dan Islam adalah dua perkara yang saling berkait rapat, tiada apa yang dapat memisahkannya, samalah seperti jasad dan roh. Manakala Ihsan pula adalah buah yang telah terhasil setelah sempurna akan kedua-dua Islam dan Iman. Sempurnanya rukun-rukun Iman, dan sempurnya rukun-rukun Islam barulah peranan Ihsan itu lengkap di dalam diri muslim. 

5. Tentang solat: Syaikh berkata: Ada dua perbezaan di antara, man yusolli dan man tuqiimu as-solah (orang yang solat dan orang yang mendirikan solat). Siapa yang dikatakan orang yang solat? Iaitu orang terlalu bersegera-segera mengambil wudhu' tanpa sempurna dan solat seolah-seolah ada yang mengejarnya tanpa menjaga kesempurnaan solat-maka ia adalah orang yang solat. Manakala orang yang mendirikan solat? iaitu orang yang menyempurnakan wudhu' dan kemudiannya ia melakukan solat sunat dua raka'at (maka diampunkan Allah akan dosa-dosanya sebelum itu); ia solat seolah-olah itu solat terakhirnya serta memahami dan berfikir akan ayat-ayat al-qur'an yang dibacanya di dalam solatnya.

6. Tentang zakat: Kata Syaikh: Bahawa amalan ini merupakan amalan yang paling susah, kerana seseorang itu kena mengeluarkan harta dari koceknya. Solat, ia tidak memerlukan seseorang untuk mengeluarkan wang, begitu juga puasa. Namun, sebenarnya zakat ini mengeluarkan kotoran dari harta kita. (Syaikh merujuk kepada perkataan yang berat iaitu Maal an-najis; seolah-olah kita membuang harta najis [Baca:kekotoran] dari harta kita. Kerana az-zakah bermaksud menyucikan. Bagi pihak pemberi ia merupakan najis [Baca: kekotoran] harta yang perlu dibersihkan; manakala bagi orang yang menerima zakat ia adalah hak-nya dan ia suci dan bersih. 

7. Tentang Munafik dan Fasiq: Syaikh berkata: Muslim yang Islam, tetapi tidak beriman, maka ia munafik. Muslim yang beriman tetapi tidak taat maka ia fasiq. 

 Surau Abu Bakar Al-Siddiq
 13.9.2013 bersamaan 7 Zulkaedah 1434
 Kuliyyah akan disambung minggu depan