Isnin, 3 Disember 2018

Falasi dalam Argumentasi


Sebagai mana yang kita tahu, para ulama falsafah Islam menyebutkan manusia diertikan sebagai 'hayawan natiq' yang bermaksud 'makhluk yang berkata-kata'. Lebih dari itu, manusia merupakan satu-satunya ciptaan Allah SWT yang memiliki 'aql, justeru punyai kapasiti untuk menimbang di antara yang baik mahupun buruk. Dalam penegakan hujah atau argumentasi, seni atau disiplin ini dapat ditelurusi sejarahnya bermula daripada Tamadun Greek. Tokoh-tokoh pemikir atau filosophia ini menjadi rujukan seluruh pengkaji mengembangkan lagi ilmu kalam. Saat kedatangan Empayar Islam ke pentas dunia memperlihatkan keterujaan dan kesungguhan para intelektualnya mengusai bidang ini dan mengharmonikannya dengan nilai-nilai ajaran Islam. Tamadun dunia terhutang budi dengan dunia Islam, manakan tidak, banyaknya buku-buku falsafah Greek Purba itu sampai ke tangan kita hari ini adalah melalui terjemahan-terjemahan intelektual Muslim ke dalam Bahasa Arab. Ibnu Rusyd, Ibn Khaldun, Ibnu Sina, Al-Ghazali, merupakan antara nama-nama gergasi dalam lapangan ilmu kalam. Namun di sini, bukanlah tempatnya untuk berbicara tentang tawarikh ilmu ini. Fokus kita, kembali kepada ilmu mantiq atau ilmu logik itu.

Dunia telah mengecapi zaman Revolusi Industri 4.0. IR 4.0 ini, timbul apabila penggunaan internet yang menjadi sebahagian hidup manusia zaman ini dengan kecanggihan teknologi fiber optik dan tanpa wayar membawa kepada internet semesta (internet of things). Penggunaan media sosial boleh dikatakan telah menempati aktiviti kehidupan manusia pada hari ini. Mungkin sekali, anda yang membaca ini sedang menggunakan peranti gajet sambil menggelungsurkan skrin ke bawah, dan ke bawah. Allah must'aan. Bercakap mengenai penggunaan media sosial, khususnya konteks di Malaysia, kita dapat melihat trend dan pola penghujahan manusia atau netizen. Manusia berbalah dalam bermacam-macam hal sehingga menjadi rancu fikiran kita. Namun, menariknya, tanpa perlu kita membuang masa menyertai perbalahan yang tidak mencambahkan minda, berbalah dalam hal politik, kenegerian, faham-aliran, perkauman dan lain-lain adalah lebih seronok untuk mengkaji cara penghujahan atau argumentasi mereka. Menariknya kita boleh dapati bahawa bentuk penghujahan yang nampak zahirnya benar, akan tetapi ia hanyalah falasi semata-mata. Jadi untuk itu marilah kita mendalami apakah yang dimaksudkan dengan falasi dalam argumentasi. 

Definisi Falasi

Antara analisis terawal berkenaan falasi adalah penulisan ahli fikir Greek iaitu Aristotle yang berjudul: "On Sophistical Refutations". Falasi secara umumnya merupakan ralat dalam penaakulan. Ianya boleh ditakrifkan sebagai: penghujahan yang tidak terpakai yang tampak sah pada pandangan pertama. Analisis yang tajam diperlukan untuk menapis dan menalar dalam penghujahan mengapa dikatakan ta'akulan itu tidak sah. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan