Ahad, 4 September 2011

Pengajaran Ramadhan 1432H

Khutbah Jumaat lalu amat memberi sentuhan pada diriku. Tajuknya agak ringkas, Pengajaran Ramadhan. Pada mulanya, aku cuba mengagak akan isi-isinya yang bakal diutarakan oleh khatib, namun ia lebih mantap dari yang disangka. Ia banyak menyentuh soal perpaduan Umat Islam. Umat Islam kini terlalu banyak disebukkan dengan pertengkaran berkenaan hal-hal ranting (bukan dasar) sehingga menyebabkan perpecahan yang kian parah. Sebagai contoh, Solat Tarawih. Adapun perkara pokoknya iaitu ibadah puasa yang menjadi salah satu rukun Islam, sedangkan solat tarawih hanyalah sampingan sahaja. Ada pihak mengatakan 8 rakaat ditambah dengan 3 witir dan ada pula mengatakan 20 rakaat ditambah dengan 3 witir. Begitu juga dalam perkara lain. Namun, kesalnya hal ini berlarutan sehingga berlakunya sengketa di antara umat Islam. Masing-masing punyai hujah tersendiri dan dalil dari hadith Nabi S.A.W. Namun, tegas khatib, tiada nas atau dalil sama ada al-quran atau hadith menyuruh kita agar bergaduh dengan perkara furu'.

Benar apa yang dikata oleh khatib. Tiada gunanya kita bercakaran sesama sendiri pada perkara ranting yang mana masing-masing ada dalil yang benar. Bukankah, Allah telah menjanjikan satu pahala kepada hakim yang tersalah dalam ijtihadnya dan dua pahala kepada hakim yang tepat ijtihadnya. Ya benar, aku pernah mengalami situasi ini ketika aku menuntut di Universiti. Melalui apa yang aku telah lalui, dua pihak saling berbantah-bantah, saya rasa kalian juga sudah tahu-apa yang saya maksudkan. Kedua-dua pihak mengklaim yang mereka adalah di pihak yang benar. Merekalah paling Islam. Merekalah yang paling sunnah. Masing-masing gelar-menggelar diantara satu sama lain-saya tidak mahu nyatakan disini- dan saling menunjukkan sikap bermusuhan. Satu pihak ini tampaknya terlalu keras, dan kadangkala dilihat semacam terburu-buru dalam menghukum. Begitu juga dengan pihak satu lagi. Apapun, saya tidak menyalahkan mana-mana pihak.

Saya yakin dan percaya bahawa kedua-dua mahukan sunnah Rasulullah S.A.W dihidupkan. Apa yang saya lihat secara umum, kedua-dua ada kelebihan dan kekurangan. Bahkan, saling lengkap-melengkapi. Saya amat khuatir benda seperti ini akan menjadi penyebab kepada tanggapan negatif orang bukan Islam bahkan menjauhkan lagi mereka dengan Islam. Malaysia yang sudah sedekad merdeka sepatutunya sudah menjadi hub orang Muslim yang berbilang kaum, namun sehingga kini masih lagi berada di takuk yang sama.

Berbalik kepada khutbah, seperkara lagi yang amat ditekankan ialah konsep taqwa. Ini dirujuk pada ayat 183 surah al-Baqarah. Ibadah puasa akan melahirkan muslim yang bertaqwa. Inilah 'program' yang telah 'diaturkan' oleh Allah kepada hamba-hambaNya untuk memperbaiki diri. Cuba fikirkan sejenak, jika 20 juta rakyat Malaysia yang 60% muslim keluar dari Ramadhan dengan taqwa. Apa akan terjadi pada Malaysia? Kalau rakyat bertaqwa, apa akan terjadi? Kalau pemimpin bertaqwa, apa akan terjadi pada Malaysia?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan