Jumaat, 13 September 2013

Kuliyah Hadith 40: Hadith ke-2

Catatan Bertulis
 Kuliyah Hadith 40 karya Al-Imam an-Nawawi: Hadith ke-2

HADITH 2

 Rumusan hadith:

1. Hadith ini merupakan gabungan perkara-perkara dasar di dalam agama Islam iaitu Islam, Iman dan Ihsan. Dengan kata lain, Islam itu tertegaknya atas dasar-dasar ini. 

2. Suasana keadaan yang digambarkan di dalam hadith: Saidina Umar r.a serta para sahabat melihat seorang lelaki datang berjubah putih, dan tiada sebarang tanda akan ia seorang yang bermusafir, kerana kebiasaan orang musafir di padang pasir pastilah paling tidak, rambutnya tidak terurus kerana angin yang meniup di padang pasir (sedangkan lelaki itu kemas rambutnya dan hitam warnanya); dan pakaiannya paling tidak pastilah punyai kekotoran, tidakpun kesan-kesan pasir mungkin melekat (namun sekali lelaki itu berjubah putih kemas). Hal ini menjadi kehairanan kepada yang hadir di dalam majlis bersama Rasulullah tersebut termasuklah Sayyiduna Umar Al-Khattab serta sahabat lainnya, kerana lelaki tersebut seolah-olah tidak datang dari jauh, datang berdekatan, namun sama sekali tiada pula mereka mengenali, dan tiada pernah melihat akannya, bahkan ia masuk dan terus duduk merapatkan kedua-dua lututnya dengan Rasulullah SAW seloah-olah akrab dan sangat mengenali. Tambahan pula, ia bertanya, namun setelah persoalan dijawab oleh Rasulullah SAW, ia pula yang mengesahkannya. Dan Sayyiduna Umar r.a serta sahabat lainnya mentelah mungkin lelaki ini bukan orang sebarangan. 

3. Tentang adab menuntut ilmu: Ulama' merumuskan bahawa hadith ini juga menunjukkan adab paling tinggi dan terbaik, dan berkah di dalam menunutut ilmu. Cara duduk seperti duduknya mailaikat Jibril a.s. merupakan adab pelajar yang ingin menerima ilmu dari gurunya; penghormatan begitulah manfaat ilmu yang ia akan terima dari gurunya. Nasihat syaikh: Satu perkara yang tidak disenangi oleh guru yang mengajar adalah jika penuntut-penuntutnya bergerak-gerak hatta bersiwak ketika pengajaran kerana ia akan mengalihkannya jauh dari perhatian.

4. Tentang Islam: Menunjukkan perbuatan secara zhahir Tentang Iman: Apabila hati kita membenarkan ajaran nabi SAW Tentang Ihsan: Kata syaikh: Iman dan Islam adalah dua perkara yang saling berkait rapat, tiada apa yang dapat memisahkannya, samalah seperti jasad dan roh. Manakala Ihsan pula adalah buah yang telah terhasil setelah sempurna akan kedua-dua Islam dan Iman. Sempurnanya rukun-rukun Iman, dan sempurnya rukun-rukun Islam barulah peranan Ihsan itu lengkap di dalam diri muslim. 

5. Tentang solat: Syaikh berkata: Ada dua perbezaan di antara, man yusolli dan man tuqiimu as-solah (orang yang solat dan orang yang mendirikan solat). Siapa yang dikatakan orang yang solat? Iaitu orang terlalu bersegera-segera mengambil wudhu' tanpa sempurna dan solat seolah-seolah ada yang mengejarnya tanpa menjaga kesempurnaan solat-maka ia adalah orang yang solat. Manakala orang yang mendirikan solat? iaitu orang yang menyempurnakan wudhu' dan kemudiannya ia melakukan solat sunat dua raka'at (maka diampunkan Allah akan dosa-dosanya sebelum itu); ia solat seolah-olah itu solat terakhirnya serta memahami dan berfikir akan ayat-ayat al-qur'an yang dibacanya di dalam solatnya.

6. Tentang zakat: Kata Syaikh: Bahawa amalan ini merupakan amalan yang paling susah, kerana seseorang itu kena mengeluarkan harta dari koceknya. Solat, ia tidak memerlukan seseorang untuk mengeluarkan wang, begitu juga puasa. Namun, sebenarnya zakat ini mengeluarkan kotoran dari harta kita. (Syaikh merujuk kepada perkataan yang berat iaitu Maal an-najis; seolah-olah kita membuang harta najis [Baca:kekotoran] dari harta kita. Kerana az-zakah bermaksud menyucikan. Bagi pihak pemberi ia merupakan najis [Baca: kekotoran] harta yang perlu dibersihkan; manakala bagi orang yang menerima zakat ia adalah hak-nya dan ia suci dan bersih. 

7. Tentang Munafik dan Fasiq: Syaikh berkata: Muslim yang Islam, tetapi tidak beriman, maka ia munafik. Muslim yang beriman tetapi tidak taat maka ia fasiq. 

 Surau Abu Bakar Al-Siddiq
 13.9.2013 bersamaan 7 Zulkaedah 1434
 Kuliyyah akan disambung minggu depan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan