Kajian Literatur: Pengenalan kepada ilmu usul fiqh
Islam adalah agama yang lengkap dan sesuai untuk sepanjang zaman. Para ulama' sentiasa berjuang untuk memastikan agar ajaran-ajaran Islam dapat diwarisi dari satu generasi kepada generasi yang lain. Mereka telah mengumpul serta menyusun ilmu-ilmu syariah seperti ilmu usul fiqh untuk dijadikan sebagai panduan kepada para ulama dalam ijtihad dan fatwa.
Islam adalah agama yang lengkap dan sesuai untuk sepanjang zaman. Para ulama' sentiasa berjuang untuk memastikan agar ajaran-ajaran Islam dapat diwarisi dari satu generasi kepada generasi yang lain. Mereka telah mengumpul serta menyusun ilmu-ilmu syariah seperti ilmu usul fiqh untuk dijadikan sebagai panduan kepada para ulama dalam ijtihad dan fatwa.
Pengertian Ilmu Usul Fiqh
Perkataan usul fiqh berasal dari dua perkataan iaitu 'usul' dan 'al-fiqh'. 'Usul' bererti asas, sumber, kaedah atau dalil. 'al-fiqh' dari segi bahasa bererti memahami sesuatu perkara. Dari segi syara' al-fiqh bererti pengetahuan tentang hukum-hukum syara' yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf yang difahami melalui dalil-dalil tafsili. Apabila dua perkataan usul dan al-fiqh digabungkan, dapatlah ia diistilahkan seperti berikut:
[Istilah] Usul fiqh: Ilmu tentang kaedah-kaedah mengistinbat (mengeluarkan) hukum-hukum syara' yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf dari dalil-dalil tafsili.
Sejarah Perkembangan Ilmu Usul Fiqh
Zaman Rasulullah ﷺ
Pada zaman Rasulullah ﷺ hukum-hukum diambil dari wahyu iaitu dalam bentuk Al-Qur'an dan penjelasan oleh baginda iaitu al-sunnah. Segala perkara yang berlaku dirujuk kepada Rasulullah ﷺ. Baginda akan menjawab secara terus berdasarkan ayat Al-Qur'an yang diturunkan atau penjelasan baginda sendiri. Namun demikian, terdapat di kalangan para sahabat yang tidak dapat merujuk kepada Nabi lantaran tempat mereka yang jauh daripada baginda. Contohnya Mua'z bin Jabal ketika diutus oleh baginda ke negeri Yaman. Rasulullah ﷺ membenarkan Mua'z untuk berijtihad dalam perkara yang tidak terdapat ketentuan dalam Al-Qur'an dan Al-Sunnah.
Zaman Sahabat
Setelah Rasulullah wafat, sebarang masalah yang timbul dirujuk kepada para sahabat. Mereka berkeupayaan menginstibat hukum terus dari Al-Qur'an dan Al-Sunnah kerana beberapa faktor, antaranya:
1. Penguasaan bahasa Arab yang baik membolehkan mereka memahami Al-Qur'an dan Al-Sunnah dengan tepat.
2. Mempunyai pengetahuan tentang sebab nuzul ayat dan sebab-sebab sesebuah hadith diucapkan.
3. Mereka merupakan para perawi hadith. Oleh itu mereka tidak perlu kepada metode tertentu untuk menentukan kesahihan sesebuah hadith.
Faktor-faktor ini menyebabkan para sahabat memiliki kepakaran yang cukup untuk mengistinbat hukum. Mereka menetapkan sesuatu hukum dengan merujuk Al-Qur'an dan Al-Sunnah. Seterusnya, apabila mereka mendapati tiada sebarang ketetapan hukum tentangnya, mereka akan berijtihad dengan menggunakan kaedah Qiyas. Inilah cara yang dilakukan oleh para mujtahid dari kalangan para sahabat seperti Abu bakar, 'Umar, 'Uthman dan 'Ali. Sekiranya mereka mencapai kata sepakat dalam sesuatu hukum maka berlakulah Ijma'.
Zaman Tabi'in
Pada zaman tabi'in para 'ulama mengambil hukum tidak jauh bezanya dengan zaman sahabat. Persamaan ini disebabkan jarak masa mereka dengan kewafatan Rasulullah ﷺ tidak terlalu jauh. Cuma mereka jika sesuatu hukum tidak terdapat dalam Al-Qur'an, Al-Sunnah dan Al-'Ijma mereka akan merujuk kepada pandangan para sahabat sebelum mereka berijtihad. Oleh sebab itu idea untuk menyusun ilmu usul fiqh belum lagi timbul dan muncul ketika itu. Inilah cara yang dilakukan oleh para mujtahid dikalangan tabi'in seperti Sa'id bin Al-Musayyib, 'Urwah bin Zubir, Al-Qaadhi Shuraiyh dan Ibrahim Al-Nakha'i.
Zaman Kemunculan Ilmu Usul Fiqh
Setelah berlalunya zaman tabi'in, keadaan umat Islam semakin berubah. Bilangan umat Islam bertambah ramai dan berlaku percampuran antara orang Arab dan bukan Arab. Kesannya penguasaan bahasa Arab dikalangan orang-orang Arab sendiri menjadi lemah. Pada masa itu timbul banyak masalah baru yang tiada ketentuan hukumnya dalam Al-Qur'an dan Al-Sunnah secara jelas. Keadaan tersebut menyebabkan para 'Ulama mula menyusun kaedah-kaedah tertentu yang dinamakan ilmu Usul fiqh untuk dijadikan landasan kepada ijtihad mereka. Ini berlaku pada akhir kurun kedua hijriyyah.
Pengasas Ilmu Usul Fiqh
Ilmu usul al-fiqh disusun sebagai satu ilmu yang tersendiri dalam sebuah kitab oleh Al-Imam Muhammad bin Idris As-syafii'. Kitab beliau dinamakan 'Al-Risaalah. Kitab ini membincangkan tentang Al-Qur'an dan Al-Sunnah dari segi kehujahan serta kedudukan kedua-duanya sebagai sumber penentuan hukum. Oleh kerana kitab Al-Risaalah merupakan kitab pertama disusun dalam bidang ini sampai kepada kita, Al-Imam as-syafi'i diiktiraf sebagai pengasas kepada ilmu usul fiqh.
Skop Perbincangan Ilmu Usul Fiqh
Dalil-dalil Syara'
Iaitu merangkumi dalil-dalil yang disepakati dan tidak disepakati. [Dalil yang disepakati adalah Al-Qur'an, Al-Sunnah, 'Ijma dan Qiyas; Dalil yang tidak disepakati: Ihtishaan, Ihtishaab, Al-masaalih al-mursalah, Saddu al-zaraa'i, Syar'u man qablana, Qaulu al-sahabbiy, 'Amalu Ahl al-Madinah dan 'Urf wal 'Aadah]
Dilaalah
Iaitu merangkumi kaedah-kaedah istibat hukum dari nas-nas Al-Qur'an dan Al-Sunnah
Ta'arud dan Tarjih
Iaitu perbincangan tentang percanggahan di antara dalil-dalil serta jalan penyelesaiannya.
Hukum-hukum Kulliy
Iaitu merangkumi hukum taklifi dan hukum wadh'i.
Ijtihaad dan Mujtahid
Iaitu merangkumi persoalan taqliid dan muqallid.
Cara Penulisan Ilmu Usul Fiqh
Selepas Imam As-Syafi'i, terdapat ramai 'ulama yang menulis ilmu Usul fiqh. Cara penulisan mereka dibahagikan kepada dua: Tariqah al-mutakallimin dan Tariqah al-ahnaaf.
1-Tariqah al-Mutakallimin
Cara ini dipelopori oleh 'ulama mazhab Syafi'i. Oleh sebab itu ia juga dinamakan 'Tariqah al-syafi'iyyah'. Mereka membuat kaedah-kaedah usul fiqh serta mengukuhkannya dengan dalil-dalil naqliy dan 'aqliy. Kemudian kaedah-kaedah ini dijadikan dasar untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul. Mereka tidak memasukkan masalah fiqh tersebut dalam penulisan-penulisan mereka. Masalah fiqh tersebut dibiarkan berasingan dalam kitab-kitab fiqh; antaranya:
Al-Mu'tamad
Al-imam al-haramayn Abdul Malik bin Abdullah Al-Juaiyniyy (w. 478 H m. 1058)
Al-Mu'tamad
Abu Husaiyn Muhammad bin 'Ali Al-Basri (w. 446 H m. 1044)
Al-Mustasfa min Ilmi al-Usuul
Al-Imam al-Ghazali (w. 505 H m. 1111)
Al-Mahsuul
Fakhruddin Muhammad bin 'Umar bin Al-Hussaiyn Al-Razi (w. 606 H m. 1209)
*Al-mahsul merupakan ringkasan kepada ketiga-tiga kitab sebelumnya.
Al-Ihkaam fi Usuuli al-Ihkaam
Saiyfuddin al-Aamidi (w. 631 H m. 1233)
2-Tariqah Al-Ahnaaf
Cara penulisan ini juga dikenali sebagai 'Tariqatul Fuqahaa'. Menurut cara ini, kaedah-kaedah usul fiqh dibuat berdasarakan hukum-hukum yang telah diputuskan oleh imam-imam madzhab mereka. Kaedah-kaedah tersebut dipastikan selaras dengan apa yang telah diputuskan. Jika tidak, kaedah-kaedah tersebut diubah suai oleh mereka. Oleh itu, dalam kitab-kitab yang ditulis mengikut cara ini terdapat banyak masalah fiqh. Antaranya:
Al-Usul (al-Jassas)
Abu Bakar Ahmad bin 'Ali (w. 370H m. 980)
Al-Usul
Abu Zayd Abdullah bin 'Umar Ad-Dabbusiyy (w. 430 m. 1039)
Abu Zayd Abdullah bin 'Umar Ad-Dabbusiyy (w. 430 m. 1039)
Al-Usul
Fakhrul Islam 'Ali bin Muhammad Al-Bazdawiyy (w. 482 H m. 1089)
Fakhrul Islam 'Ali bin Muhammad Al-Bazdawiyy (w. 482 H m. 1089)
Kasyful Asraar
Abdul Aziz bin Ahmad Al-Bukhari (w. 730 H m. 1330)
Selain daripada dua bentuk penulisan tersebut, terdapat satu lagi bentuk penulisan usul fiqh iaitu cara penulisan yang menggabungkan kedua-dua cara penulisan tersebut. Cara ini dikenali sebagai 'Tariqah al-Muta'akhiriin'.
3-Tariqah Al-Mutaakhiriin
Cara ini kemudiannya diikuti oleh 'ulama dari pelbagai madzhab seperti hanafi, maliki, syafi'i dan hanbali. Antaranya:
Badii'u al-Nizaam
Muzaffaruddin Ahmad bin 'Ali As-Saa'ati al-hanafiyy (w. 694 H m. 1295)
* merupakan gabungan kitab Al-Usul oleh al-bazdawiyy dan Al-Ihkaam oleh Al-Amdaadi
Al-Tanqiih dan syarahnya At-Tawdih
Sadr Al-Syari'ati Abdullah bin Mas'ud Al-Mahbuubi al-hanafiyy (w. 747 H m. 1346)
Jam'ul Jawami'
Al-Imam Taajuddin Abdul Wahhab bin 'Ali Subki As-syafi'iyy (w. 771 m. 1369)
*Al-Muwafaqaat fi usuuli Ahkaam
Abu Ishaq Ibrahim bin Musa Al-Lakhamiy atau lebih dikenali sebagai As-Syatibi (w. 790 H m. 1388)
Beliau telah menggabungkan kaedah Usul fiqh dengan Maqasid al-syari'ah. Kitab al-muwafaqaat telah menjadi perintis kepada pembentukan satu disiplin ilmu baru iaitu ilmu Maqasid al-syariah. Sekarang ilmu ini dibincangkan secara lebih terperinci dan terpisah dari ilmu usul fiqh. Antara kitab yang terkenal dalam bidang ini ialah Maqaasid al-Syari'ah al-Islamiyyah oleh Muhammad Tahir bin 'Aashur.
_________
Rujukan: Pendidikan Syari'ah Islamiyyah, DBP. (ms. 39-45)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan