Rabu, 21 Disember 2016

Bahagian 1: Andalus Sebelum Islam

☙{الأندلس قبل الإسلام}❧

Andalus - merupakan nama Arab bagi semenanjung Iberia yang mana dikenal sekarang sebagai Sepanyol dan Portugal - telah didiami oleh manusia lebih lama dahulu sebelum datangnya orang-orang Goth dan Vandal, dan bahkan sebelum itu lagi, orang-orang Celt telah mendahului mereka tinggal di situ. Sejarah awalnya telah hilang ditelan zaman. Apabila membincangkan mengenai asal-usul perkataan 'Andalus', dan dalam menyinggung apa yang diperkatakan oleh sejarawan seperti Al-Maqqari, yang mana beliau telah menulis sejarahnya pada kurun ke-17 memberikan dua keterangan yang paling dekat:

Sesetengah penulis, seperti Ibn Sa'id, mendapatkan dari Andalus, anak kepada Tubal, anak Yafeth, anak Nuh, yang mendiaminya, dan menamakannya, seperti mana yang dilakukan abangnya Sebt, anak Yafeth, orang-orang tanah seberang, dan memberikan nama kepada kota Sebtah (Ceuta)...Ibn Hayyan, Ibn Khaldun, dan lainnya, mengambilnya dari Andalush, suatu bangsa Barbarian yang mendiami di situ.

'Andalush' asalnya merupakan perkataan Arab kepada orang Vandal, dan kemudiannya mengubah huruf akhirnya dari kalimah shin kepada sin, makalah terhasillah perkataan Andalus.

Ia juga diperkatakan bahawa sebahagian dari keluarga pemuka Yahudi telah berpindah ke Andalus dari Palestin untuk menyelamatkan diri dari tentera Raja Nebuchadnezzar yang telah menyerang dan menguasai kerajaan purba Judah (Kingdom of Judah) serta memusnahkan Istana Sulaiman (Temple of Solomon) di Baytul Maqdis (Jerusalem) pada 586 BC. Orang-orang Greek dan Roman juga mendiami dan pernah menikmati kekayaan di Andalus yang mana pada ketika itu begitu kaya dengan sumber emas dan perak.

Pendeknya, sepertimana Anatolia, atau Turki sebagaimana yang dikenal kini, Andalus juga dahulunya merupakan titik persilangan di antara Barat dan Timur, dan Utara dan Selatan - dan kepelbagaian manusia yang melintasinya atau menempatinya adalah sangat luas dan beragam sekali.

Sungguhpun secara prinsipnya sebahagian besar orang-orang yang datang untuk mendiami bumi Andalus telah mengembara dari utara atau timur, adalah suatu yang tidak dapat disangkal bahawa adanya kedatangan orang dari belah selatan, dan menurut sejarawan tradisional yang dinukilkan oleh Al-Maqqari bahawa hal ini sebenarnya telah diramalkan oleh orang-orang Greek pada tempoh yang lama sebelum terjadinya perkara yang sebenar:

Mereka menyebutkan bahawa suatu ketika dahulu di Toledo, sebuah istana dibina pada zaman suatu raja yang bijaksana, yang mana telah berfirasat bahawa suatu masa akan datang Andalus akan ditakluki oleh orang-orang dari Afrika, lantas telah meletakkan suatu ikatan mantera sihir ke dalam salah sebuah kamar dalam istana itu, agar dapat melindungi bumi tersebut daripada sebarang penaklukan asing. Selagi mana mantera sihir itu tidak di leraikan, selagi itulah Andalus akan terpelihara, dan sekiranya ia terlerai (ianya benar-benar terjadi disebabkan Roderic) kemusnahan negeri itu adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi. Ramai di kalangan sejarawan yang mengaitkan dengan cerita ini.

Umum mengetahui bahawa orang-orang Greek adalah suatu bangsa yang terkenal dengan keilmuannya dalam sains, begitu juga dengan bakat mereka dalam ketajaman minda dalam merungkai rahsia-rahsia semulajadi. Sebelum zaman Alexander, mereka mendiami bahagian Timur, tetapi apabila orang-orang Parsi mula menguasai penempatan-penempatan itu dan mula mengambil alih segala yang dipegang oleh orang-orang Greek, mereka mengambil langkah untuk berhijrah mencari tanah yang jauh dan membawa ilmu pengetahuan dan sains bersama mereka. Mereka berhenti dan menyesuaikan diri ke sebuah 'pulau' Andalus yang pada ketika itu terletak di penghujung dunia, jauh dari penempatan manusia, tidak begitu dikenali, serta tidak memiliki sebarang kerajaan mahupun raja; sungguhpun sebenarnya, Andalus, anak kepada Yafeth telah mendiami dan menamakan negeri itu dengan namanya dan mendiami sehinggalah peristiwa banjir besar (deluge), yang meninggalkan sedikit kesan tinggalan, akan tetapi negerinya dan generasinya telah lenyap, maka terjadilah negeri itu, negeri yang ditinggalkan, kosong dan tidak dihuni.

Ia telah disebut-sebut bahawa manusia-manusia setelah bumi dilanda banjir besar telah membentuk seakan-akan seekor burung, - di bahagian timur adalah kepalanya, - bahagian utara dan selatan, adalah kaki kiri dan kanannya, - negeri yang ditengahnya umpama perut, - dan bahagian barat adalah ekornya, - dan ketika itulah orang-orang Greek menetap di Andalus sebagai sebuah negeri tidak seperti bangsa-bangsa lain, yang menjadi bahagian yang paling memalukan iaitu bahagian ekor pada gambaran burung yang kami telah perjelaskan sebelum ini; bagi mereka (orang-orang Greek purba), mereka lebih suka dan cenderung untuk mencari pengetahuan berbanding pergi ke medan perang; menyebabkan generasi terkemudiannya tidak begitu berminat untuk mengangkat senjata: mereka berhadapan dengan musuh dengan helah berbanding kerahan, dan mereka langsung tidak malu akan hakikat ini bahkan mereka sangat berbangga dan megah dengannya, kerana bagi mereka, mereka tahu bahawa penyebab reputnya sesebuah empayar yang kuat adalah terjerumus dalam kancah peperangan.

Bagi mengelakkan sebarang gangguan dalam menggali pengetahuan dan percambahan ilmu sains, yang menjadi hidup mereka, mereka melarikan diri dari musuh mereka, yakni orang-orang Parsi ke Andalus; yang mana setelahnya mereka mula menggali terusan, menyekat sungai untuk saliran; membina jambatan dan empangan air, mendirikan istana kota dan tembok-tembok, mengusahakan taman-taman dan kebun anggur, mengasaskan bandar dan kota, membajak dan menyemai tanah-tanih, dan membina segala keperluan pembangunan untuk kesenangan penduduk-penduduknya. Negeri itu kemudiannya menjadi padat dengan manusia, berjurai-jurai dengan bandar dan kota, pernah seseorang yang bijaksana dari kalangan mereka yang mengatakan bahawa mereka mendiami bahagian ekor burung yang dianggap buruk itu sebenarnya ekor yang gah dan cantik, yang sebenarnya seumpama ekor burung merak; yang mana dilihat orang sebagai sesuatu yang cantik. Pernyataan ini mengingatkan kita kepada suatu jawapan yang 'tepat pada masanya' pernah diungkapkan oleh seorang warga Arab di bahagian barat kepada Putera orang-orang beriman, iaitu Harun Al-Rashid (semoga Allah merahmatinya).

Pernah pada suatu hari, Khalifah itu sedang berucap di hadapan warga Afrika: "Aku diberitahu: wahai manusia, bahawa dunia ini menyerupai akan bentuk seekor burung; di mana barat adalah ekornya." Warga Al-Maghreb itupun membalas: "Benar sekali apa yang diberitahu kepadamu, wahai putera orang-orang beriman." "Tetapi sebetulnya, orang yang memberitahumu itu patut menambahkan bahawa, burung itu adalah merak!" Mendengarkan jawapan mereka, Al-Rashid pun ketawa dan teruja dengan kepetahan jawapan balas orang itu demi menjaga nama baik negerinya itu.

Orang-orang Greek terus memiliki Andalus, menerajui kehidupan yang selamat dan penuh selesa. Mereka mengambil Toledo sebagai ibu negerinya, disebabkan terletak di tengah-tengah Andalus, bersama-sama keberjagaan dari sebarang ancaman musuh demi menjaga apa yang mereka miliki, dirahsiakan dari seluruh pelusuk dunia, pengetahuan yang mereka benar-benar menikmatinya. Dalam usaha mereka menggapai apa yang diharapkan, mereka mula mendongak ke bintang dan meminta apa yang dihajatkan, dan mendapati hanya dua bangsa yang akan menggugat kenikmatan yang mereka kecapi, dan wajar untuk dibenci, bangsa yang sebati dengan hidup yang jauh dari kemewahan, jumud dengan kemiskinan dan kepayahan, mudahnya – Arab dan Barbar. Apabila orang Greek mendengarkan prognostik (ramalan) ini, mereka benar-benar merasa gentar, amat takut dan begitu merasa terancam hidup mereka di atas pulau itu; mereka lantas membuat azimat yang mereka yakin dapat menghindarkan dari kemusnahan yang bakal berlaku, dan berkat kuasa azimat itulah mereka percaya, memelihara negeri mereka dari dua bangsa yang diramalkan itu, bersekali dengan perbuatan mereka yang mula meminta perlindungan dari bintang-bintang. Apabila puak-puak yang bertabur itu dilihat semakin mengisi ruang dan mendiami di sepanjang pesisir pantai utara Afrika serta dikit-dikit semakin mampir ke pinggir laut, yang dipisahkan oleh sebuah terusan yang sempit sahaja dari Andalus, maka semakin takut dan kebingungan akan orang-orang Greek, di mana pasti sekali mereka akan meriuhkan ke serata tempat akan kerisauan berlakunya penaklukan, takutnya mereka terhadap Barbar yang semakin lama semakin menyerlah dalam diri mereka. Buat pihak seberang, mereka telah terbiasa dengan stigma dan kebencian yang dilontarkan oleh orang Andalus terhadap mereka, malah bertambah benci dan iri, ini berlaku dalam ukuran tertentu, sebab mengapa sungguhpun dalam tempoh yang begitu lama selepasnya walau seorang Barbar pun begitu jarang sekali didapati membenci seorang Andalus, dan begitu juga sebaliknya hanya Barbar tersebut semakin menghendaki orang-orang Andalusia berbanding mereka terhadapnya; inilah suatu perkara yang tidak berlakupun di Afrika, Berdasarkan ini, jelas sekali telah ada perhubungan di antara kedua-dua bangsa ini, sungguhpun dalam keadaan lawannya.

Di suatu masa dahulu, di barat Andalus terdapat seorang Raja Grecia, yang memerintah sebuah pulau bernama pulau Kadis (Cadiz). Raja itu memiliki puteri yang bergitu jelita, yang mana raja-raja lain di Andalus – saat itu negeri itu ditadbir oleh beberapa orang raja di sekitar Andalus, tiap-tiap wilayahnya tidak lebih dari dua hingga bandar sahaja – terpikat untuk memperisterikannya. Tiap-tiap raja itu menghantar utusan ke Cadiz, untuk melamar. Ayahnya, walaubagaimanapun tidak berkehendakkan walau seorang pun dari mereka, kerana baginda tahu, banyak dari mereka itu bersifat perasan dan mendakwa diri mereka sebagai yang baik, fikirnya, kalau-kalau berbuat jasa kepada satu pihak, pasti ia akan menyakitkan yang lainnya, saat itu benar-benar rancu, maka baginda mengutuskan utusan buat puterinya untuk mendapatkan ragam sebenar raja-raja yang mahu melamarnya. Puteri itu merupakan anak kepada seorang raja yang penuh dengan kebijaksnaan, tambahan pula dianugerahkan rupa paras yang cantik, di mana disebabkan itu dalam kalangan orang Greek sama ada lelaki mahupun wanita, yang dilahirkan bersama ilham sains tidak lain akan menyatakan: “Sains diturunkan dari syurga dan menempatkan dirinya ke dalam jasad manusia yang berlainan; iaitu pada otaknya adalah orang Greek, pada tangannya adalah orang China dan pada lidahnya adalah orang Arab.” Puteri itu kemudiannya, setelah menyedari hakikat ini, berkata kepada ayahnya, “Berbuatlah apa yang akanku ucapkan kepadamu, dan janganlah mencari masalah buat dirimu untuk terus berbalah dalam perkara ini.” – “Jadi, apakah nasihatmu?” – “Buat mereka-mereka yang berhajatkan tanganku (yang ingin melamarnya), dia perlulah menjawab, bahawa aku hanya berkehendakan kepada tidak lain, seorang raja yang bijaksana.” Maka raja itupun menghantarkan utusan yang sepatutnya kepada raja-raja di wilayah jiran untuk mencari calon yang benar-benar menepati kehendak puterinya. Setelah raja-raja itu membaca suratnya, tanpa memberikan bukti dan hujah yang mereka berpengetahuan tinggi, mereka membalasnya dengan pengakuan “Akulah raja yang bijaksana.”; iaitu dua orang raja. Apabila si ayah membuka surat balas raja-raja itu, lalu memberikan kepada puterinya seraya baginda berkata, “Lihatlah.” Katanya. “Kita masih berada di takuk yang lama, dan masalah yang tak pernah berubah dari dulu; lihatlah dua orang raja ini yang menggelarkan diri mereka sendiri sebagai orang yang bijaksana, dan kalaupun aku pilih salah seorang dari mereka, tidak lain ia akan memusuhi yang keduanya. Apa cadanganmu untuk menghadapi kerumitan ini?”Puterinya itu menjawab, “Aku akan meletakkan satu tugasan terhadap dua raja itu, dan sesiapa dari mereka yang dapat melaksanakan dengan cemerlang, maka dialah yang layak menjadi suamiku.” “Dan doakanlah, jadi apa tugasnya itu?” – “Kita memerlukan roda unruk mengangkat air di bandar ini; aku akan pinta salah seorang dari mereka untuk membinakan satu untukku yang dapat digerakkan oleh air bersih yang berarus dari tanah nun jauh di sana ; dan aku akan meletakkan kepercayaan kepada yang seorang lagi untuk membuatkan azimat atau tangkal untuk melindungi pulau ini dari serangan orang Barbar.” (...akan bersambung)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan