☙{الفَتحُ الإسلَامِيُّ لِلأندَلُسِ}❧
Kempen pembukaan Islam semenanjung Iberia; gerbang selatan barat benua Eropah merupakan operasi ketenteraan terakhir dan paling dramatik pernah dicatatkan oleh bangsa Arab. Peristiwa ini menjadi mercu tanda dan kemuncak perluasan wilayah Afrika-Eropah oleh orang Islam, sepertimana pembukaan Turkestan, menandakan kemuncak perluasan di wilayah Asiatik-Mesir. Ekspedisi ke Sepanyol ini menjadi titik sejarah yang cukup unik dalam catatan sejarah ketenteraan zaman pertengahan di mana dengan kepantasan perlaksanaan dan kecekapan menyempurnakannya - menjadi faktor penting kejayaannya. Reconnaissance pertama telah dilaksanakan adalah pada 710, apabila seramai 400 anggota infantri disusupkan bersama kekuatan 100 ekor kuda, yang kesemua mereka berbangsa Barbar telah dioperasikan.
Tarif Ibn Malik, pegawai kepada Musa Ibn Nusayr, gabenor Afrika Utara yang ditabalkan oleh Umayyah, telah menjejakkan kaki ke semenanjung kecil terletak paling hujung selatan benua Eropah. Semenanjung itu, yang kininya dikenali sebagai Tarifa, iaitu bersempena dengan namanya, dinamakan sebagai Jazirah Tarif. Musa, yang telah memegang jawatan gabenor semenjak 700, telah mencabut kekuasaan Byzantine untuk selamanya dari wilayah selatan Kartagena (Carthage) dan melaksanakan perluasan demi perluasan, sehingga ke Atlantik, menjadikan kelebihan buat barisan Muslimin membentuk point d'appui (titik siapsiaga barisan) sebelum menakluk Eropah. Dengan semangat yang terinspirasi oleh kejayaan Tarif ditambah dengan kemelut yang berlaku dalam kerajaan Visigoth di Sepanyol itu, bersama dengan keinginan yang tinggi terhadap khazanah yang bakal diraih, Musa telah memarakan Tariq bin Ziyad, seorang Barbar yang telah dimerdekakan olehnya, ke Sepanyol pada 711 dengan kekuatan seramai 7,000 anggota yang majoritinya warga Barbar. Tariq telah mendarat berhampiran dengan sebuah batu yang gah, yang mana semenjak itu telah mengabadikan namanya, Jabal Tariq (Bukit Tariq; Inggeris: Gibraltar).
Menurut catatan sejarah, kapal-kapal Tariq Ibn Ziyad ada dibekalkan (separa lagenda) oleh Julian, iaitu bangsawan Ceuta (Count of Ceuta), sebuah negeri yang terletak di benua Afrika yang dipisahkan oleh selat yang hanya seluas 13 batu sahaja dari benua Eropah Andalus [Ceuta, Arab: سبتة "Sabtah" berasal dari perkataan Latin "Septa" bermaksud 'tujuh'. Nama penuhnya adalah "Septem Fratres" yang bermaksud 'Tujuh bersaudara'; merujuk kepada 7 bukit kecil yang terdapat sekeliling bandar itu yang kelihatan seperti adik-beradik; ianya sebuah bandar yang dahulunya dikenal sebagai bandar purba Abyla. Ia juga disebut sebagai "Ad Septem Fratres"]. Dengan bantuan ketenteraan ini, Tariq yang mengetuai angkatan seramai 12,000 orang, bertemu ruas dengan buku tentera Raja Roderick pada 19 Julai 711 di pinggir Sungai Barbate, di persisiran lagun Janda [Sungai kecil ini kini dikenal sebagai Salado. Orang Arab menyebutnya Wadi Bakkah (Lakkah), yang kemudiannya dikorupkan kepada Guadilbeca yang menjadi kesilapan sejarawan merujuknya sebagai Guadelete. Sungai Salado terletak di Tarifah. Untuk rujukan pantas, sila rujuk Battle of Guadelete]. Sejarahnya, Raja Roderick telah menurunkan takhta raja sebelumnya, iaitu anak kepada Wittiza, dan merampas takhta itu. Sungguhpun Roderick memiliki sejumlah 25,000 kekuatan tentera, namun angkatan Visigoth itu cukup terkesan dengan pengkhianatan yang dilakukan oleh seteru politik raja itu, yang dikepalai oleh Uskup Oppas, abang kepada Wittiza. Nasib akhir Raja Roderick pada akhirnya kekal menjadi misteri sehingga ke hari ini tanpa diketahui, dan menurut kedua-dua catatan versi Sepanyol dan Arab masing-masing menyebutkan bahawa dia sekadar hilang begitu sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan