Ahad, 31 Disember 2017

Ketika Cordova Bertasbih - Bangun dari Keruntuhan


Setelah Cordova jatuh menyembah bumi, 

nun jauh di barat, angkatan muslimin mula mengatur langkah.

Jika kita sebut tentang pejuang terdahulu di Cordova, sudah pasti Tariq Ibn Ziyad pelopornya.

Jika kita sebut tentang pejuang terdahulu di Constatinople, sudah pasti Sultan Muhammad Al-Fateh perwiranya.

Fatihin istanbulu fethettiği yaştasın

Sebaik-baik ketua; sebaik-baik tentera
Maruah umat Islam ditebus dengan runtuhnya ibu kota Byzantine iaitu serpihan kerajaan besar Empayar Rom yang suatu ketika dahulu menakluk dua pertiga dunia. Jatuh ke tangan panglima yang muda dan bersemangat waja. 

Benar, apabila membicarakan tentang Othmaniyyah, sudah pasti antara lambang utamanya adalah seni binanya. Seni bina era Othmaniyyah dapat dikesan melalui keseragamannya tak kira sama ada Camii (masjid jami') itu kecil mahupun besar. 

Ini kerana segalanya berinsipirasikan kepada Hagia Sophia yang telah diubah menjadi masjid ditambah dengan menara yang cukup menjadi lambang keagungan (muhtesem) empayar Islam Othmaniyyah yang berpusat di Islambul. Seni bina ini berdiri teguh di seluruh wilayah kekuasaan Othmaniyyah dan masih lagi dapat dilihat di wilayah-wilayah Balkan, Asia Barat dan Afrika.

Bahkan masjid di Jepun, Tokyo Camii juga dibina sebagai Masjid Biru kecil yang jelas sekali menampakkan seni bina Othmaniyyah. Di Malaysia, pastinya dapat dilihat pada binaan Masjid Wilayah, masjid unik yang menggabungkan ciri Malaysia dan Othmaniyyah sekaligus.

Segalanya adalah atas jasa seorang tokoh yang agung, iaitu Mimar Sinan.

Sekiranya kita menyebut tentang Othmaniyyah, amat tempang sekali pengetahuan kita sekiranya tidak mengenali Mimar Sinan, arkitek diraja kerajaan Othmaniyyah.

Coretan


"kejayaan yang tertangguh"
Ah, barangkali kita berkongsi cinta dan cita. Kita cintakan legasi umat Islam terdahulu yang telah membayar dengan nyawa mereka demi menegakkan maruah Islam di muka bumi. Kita citakan untuk menjejakkan kaki ke bumi bertuah itu agar dibawa balik ibrahnya dan membina semula di atas runtuhan-runtuhan kegemilangan umat terdahulu.

Bak kata Dr Azmil semasa kuliah sifat 20 kelmarin dulu, bahawa peranan umat Islam hari ini adalah menjadi pejuang di medan jihad saqafi. Sekarang, terlalu ramai menjunamkan diri ke kancah siyasi sehingga menyebabkan ramai umat manusia jatuh ke dalam perbalahan yang merugikan. Prioriti kita adalah berjuang di medan saqafi - iaitu keintelektualan, kerana sebenarnya, musuh-musuh Islam lebih gentar sekiranya seorang Muslim itu kemas ilmunya.

Ah, waktu-waktu beginilah teringatkan kepada Professor Abdul Fattah Al-Ewaisi. Teringatkan backpack kecilnya dan bagasi pelamnya. "I'll see you in Istanbul." "InsyaAllah." "Tessekur Ederim"

Semoga kita sama-sama direzekikan untuk melawat Istanbul dan Cordova, InsyaAllah.

Semoga kita sama-sama dapat menjadi pejuang yang hebat seperti mana mereka yang mendahului kita, di medan intelektual.

Afiq Ertugrul Pasha
Bekas Pengarah Muhtesem '17
Ahad, 12 Rabi'ul Akhir 1439
Bersamaan 31 Disember 2017


Jumaat, 29 Disember 2017

Ketika Cordova Bertasbih - Epilogue



Epilog

Setelah hampir 700 tahun Cordova bernanung di bawah pimpinan kaum Muslimin, akhirnya Cordova jatuh ke tangan musuh dengan penuh tragis. 700 tahun bukan satu tempoh yang singkat. Hatta, pembentukan Amerika Syarikat moden amat kecil sekali dibandingkan dengan saqafah yang telah dibina oleh tamadun Islam di bumi Iberia itu. 

Namun, 

Jatuhnya Cordova bukan secara tiba-tiba. Ia bukan berlaku secara mengejut. Akibat penyakit waham, dan hilangnya taqwa kaum muslimin, bumi Al-Andalus tumbang satu-persatu. Di jarah sedikit demi sedikit. Wilayah demi wilayah.

Bagai retak menanti belah

Jika anda mengkaji bidang fiqh, nama tokoh yang tidak asing lagi dalam lapangan ini adalah tokoh yang bernama Imam Syatibi rahmatullah ta'ala 'alayh. Imam Syatibi telah menulis kitab-kitab yang ulung dan menjadi magnum opus serta corpus kepada banyak bidang, dan yang paling jelas sekali adalah Al-Muwafaqat. Al-Muwafaqat merupakan antara rujukan penting dalam ilmu Maqasid Al-Syariah. Jadi, apakah kaitannya dengan kemerosotan wilayah Muslim di Andalusia? 

Lihat kepada nama penuh beliau sendiri. Beliau digelarkan sebagai al-Syatibi. Al-Syatibi merupakan nama Arab bagi bandar Xativa, terletak tidak jauh dari Grenada di mana sandaran ini memungkinkan bahawa beliau dilahirkan di Xativa, atau paling tidakpun berasal dari bandar itu, bandar yang diasaskan oleh umat Islam. Walaubagaimanapun, ada sejarawan menyatakan bahawa di saat Imam al-Syatibi lahir, Xativa telahpun jatuh ke tangan orang Kristian. Ini bermakna, hayat Imam Syatibi berlalu dalam era di mana proses kejatuhan kerajaan kaum muslimin di Al-Andalus sedang berlaku. Kita disinipun sedih mendengarkannya, apatah lagi beliau, yang hidup di zaman itu. 

Tidak sanggup rasanya untuk mengulas tentang kejatuhan Cordova. Ia sangat menyayat hati. Ia bukan perkara yang tidak dapat dijangka, tetapi ianya sesuatu yang memang patut berlaku. Akibat kerancuan politik merebut kuasa, pengaruh dan habuan dunia, Cordova direnggut satu per satu bak domino. Pemimpin generasi akhirnya, tidak lagi memiliki ketaqwaan, tidak lagi bersemangat juang demi agama sepertimana generasi yang mendahului mereka, Tariq Ibn Ziyad. Cordova senasib dengan Saqalibah yang telah lenyap di sapu bersih sehingga hanya tinggal sedikit sahaja kesan-kesan umat Islam. Hampir tiada. Hampir musnah secara total. 

Akhirnya, Cordova hilang dari dakapan kaum Muslimin buat selamanya. 

Tidak ada lagi azan berkumandang di lorong-lorong bandar Isybillya. Tidak ada lagi kedengaran jama'ah-jama'ah, khutbah-khutbah, selawatan, dan ratib-ratib di Masjid agung Cordova. Mihrab-mihrab ditinggal sepi tidak ada lagi kaum muslimin yang berdiri mengingatkan saudaranya akan takut kepada Allah dan kehidupan akhirat. Dinding-dinding kota yang masih tegak berdiri bagai merindukan suara-suara itu. Namun, ia tidakkan kembali. 

Cordova telah meninggalkan kita. Cordova telah pergi buat selamanya. 


Selasa, 26 Disember 2017

Ketika Cordova Bertasbih




Prolog

Cordova, sebuah nama yang tidak asing lagi dalam lipatan sejarah umat Islam. Kegemilangan tamadun Islam terukir kemas di atas nama ini. Al-Andalus, sebuah negeri yang pernah mewarnai sejarah dunia, di mana kemuncaknya adalah kemuncak umat Islam dalam keilmuan dan ketamadunan. Tatkala mana Eropah yang pada masa kini dipandang tinggi dan menjadi 'kiblat' sebahagian besar umat manusia, masih berada dalam kegelapan dan kemunduran. 

Kesan kemajuan umat Islam sewaktu era Al-Andalus, masih lagi dapat dikesan sehingga kini. Tariff, perkataan yang merujuk kepada cukai berasal dari Tarifa, bandar pelabuhan yang bersempena dengan pegawai angkatan Umawi, Tarif Ibn Malik. Tarifa, menjadi wilayah pertama dibuka umat Islam dalam kempen Musa Ibn Nusayr menjatuhkan kekuasaan Visigoth yang semakin rancu.

Begitu juga dengan Gibraltar, nama yang tidak asing lagi bagi peminat sejarah Islam, di mana ianya mengabadikan nama Tariq Ibn Ziyad, "Jabal Tariq" - Bukit Tariq, panglima berketurunan Barbar yang menakluk laluan barat laut dan mendaratkan pasukannya di sebuah semenanjung kecil yang berbukit batu besar. 

Begitu juga dengan perkataan "arsenal". Perkataan ini, jika diungkap, pasti ramai yang akan membayangkan pasukan bola sepak inggeris yang mendapat jolokan 'The Gunners" di bawah kelolaan Arsene Wenger. Namun ketahuilah, asal usul "arsenal" adalah "al-Sina'ah", perkataan yang merujuk kepada 'bunker artileri' atau gudang senjata yang merupakan istilah yang digunapakai era Al-Andalus.  

Ini hanyalah sebahagian kecil kesan-kesan kemuncak peradaban manusia yang diterajui umat Islam suatu ketika dahulu yang sehingga kini masih terpelihara. Tidak salah untuk kita berbangga dengannya.  

Romantis dan puitis merindui Cordova

Sebagai seorang yang romantis dengan zaman emas umat Islam Al-andalus, antara yang memberi kesan yang tertanam dalam jiwa adalah seni binanya. Yakin sekali dikatakan, hatta orang yang tidak kenal tentang sejarah Islam di benua Iberia sekalipun, pasti akan ta'ajub dengan kehalusan seni binanya. Ukiran perkataan 'La Ghaliba Ilallah' -"Tiada kemenangan melainkan kemenangan dari Allah" menambahkan lagi gemersik rindu terhadap permata yang kini telah lenyap dari dakapan kaum muslimin.

Keindahan seni reka Al-Hambra, Fountain of Lions, dan Masjid Agung Cordova, arca-arca gerbangnya, mihrabnya, seandainya dijiwai dengan mendalam, pasti boleh melinangkan air mata. Kerana apa, kerana memikirkan, bagaimana tamadun seagung ini boleh jatuh dan lenyap dari tangan umat Islam? 

Mujurlah. Di Malaysia negara kita tercinta ini beberapa tempat yang boleh dilawati dan mengambil inspirasi daripada kegemilangan Islam Sepanyol. Dari sudut reka binaan bangunan, anya disebut "Moorish-style". Lokasi yang paling hampir sekali adalah Astaka Morocco, Putrajaya (di mana gambar ini diambil) merupakan imitasi yang paling dekat dengan seni bina Cordova. Di sini dapat melihat dan memberi secebis suasana Istana Al-Hambra melalui ukiran-ukirannya, jubin-jubin yang tersusun serta arabesque yang memukau jiwa. 



Kedua, kompleks ISTAC, Jalan Duta yang di rekabentuk oleh ilmuan agung nusantara, Prof. Dr. Syed Naquib Al-Attas di mana seni binanya mirip kepada istana Al-Hambra, Grenada di mana tengah-tengahnya menempatkan rekaan semula Fountain of Lions. 


Dan yang ketiga adalah Masjid Sultan Abdul Aziz, Jalan Templer, kira-kira 20 minit pemanduan dari Universiti Malaya. Mihrab dan hiasan dinding masjid ini cukup indah mengambil inspirasi dari mihrab Bani Al-Ahmar yang meletakkan selangan warna merah pada lengukngan arca gerbang. 

Rindu pada Cordova terubat seketika. 

Jika ada rezeki, berkunjunglah terus ke bumi Iberia. Pasti lebih banyak ibrah yang dapat dibawa pulang. 
  
Mengimpikan Cordova di Zaman ini

Ya, sudah pasti tiap-tiap umat Islam yang bersemangat waja dan menjiwai sejarah ingin mengembalikan kegemilangan umat Islam. Ingin mengembalikan izzah umat Islam, sebagai umat yang berperadaban tinggi, berdaya intelek, dan tidak miskin jiwa. 

Inginku lontarkan persoalan ini. Siapa yang akan dapat mengembalikannya?

Jawapannya adalah tidak lain tidak bukan, kita. 

Tiap-tiap kita umat Islam ini, harus memainkan peranan. Bagi yang menuntut ilmu, adalah wajib untuk kita kuasai, tak kira apa lapangannya. Ilmu keduniaan, jika disorot benar-benar, banyaknya dimulai oleh umat Islam sendiri, dan ilmu ini jugalah yang perlu dikuasai dan didominasi umat Islam hari ini. Ia fardhu kifayah, namun bagi yang menceburinya, wajib ke atasnya untuk menjadi seorang yang pakar dalam bidangnya. 

Sama-samalah kita berusaha di lapangan masing-masing demi kemajuan umat Islam. Kita juga berdoa' agar izzah umat Islam dikembalikan, sebagaimana hebatnya Cordova di zaman emasnya, bermula dengan membuat perubahan kepada yang lebih  baik dan sentiasa mengislahkan diri (muslih), keluarga seterusnya masyarakat. Insya-Allah. 

Ahad, 17 Disember 2017

Sijil Asas Kaunseling: Modul Memahami Kecelaruan Psikologi

Poster Utama

Peserta yang hadir
15 Disember 2017, Kajang - Belajar mengenai Psychological disorder, anxiety disorder, stress dan seangkatan dengannya. Dalam keadaan sekarang, ramai manusia yang stress disebabkan faktor ekonomi yang mendesak, peperangan, diskriminasi dan sebagainya. Semua ini akan menyumbangkan kepada tekanan. Tekanan yang tidak diatasi, akan membawa kepada kemurungan. Kemurungan yang berlarutan sehingga menjejaskan kenormalan hidup boleh membawa kepada mudarat. Maka, perlulah dirujuk kepada kaunselor, ahli psikoterapi, dan yang paling tinggi adalah psikiatri. Kita tak tahu ujian kita nanti bagaimana, jadi, sedang mempersiapkan diri agar dapat kawal tekanan, kawal 'kecelaruan' dan sabar dengan ujian tersebut. Lain orang, lain ujian. Apapun, segalanya petunjuk dari Allah jua, menyeru kembali hamba-hambaNya yang telah lalai dan leka untuk kembali mentaatinya. Alhamdulillah.