Jumaat, 29 Disember 2017

Ketika Cordova Bertasbih - Epilogue



Epilog

Setelah hampir 700 tahun Cordova bernanung di bawah pimpinan kaum Muslimin, akhirnya Cordova jatuh ke tangan musuh dengan penuh tragis. 700 tahun bukan satu tempoh yang singkat. Hatta, pembentukan Amerika Syarikat moden amat kecil sekali dibandingkan dengan saqafah yang telah dibina oleh tamadun Islam di bumi Iberia itu. 

Namun, 

Jatuhnya Cordova bukan secara tiba-tiba. Ia bukan berlaku secara mengejut. Akibat penyakit waham, dan hilangnya taqwa kaum muslimin, bumi Al-Andalus tumbang satu-persatu. Di jarah sedikit demi sedikit. Wilayah demi wilayah.

Bagai retak menanti belah

Jika anda mengkaji bidang fiqh, nama tokoh yang tidak asing lagi dalam lapangan ini adalah tokoh yang bernama Imam Syatibi rahmatullah ta'ala 'alayh. Imam Syatibi telah menulis kitab-kitab yang ulung dan menjadi magnum opus serta corpus kepada banyak bidang, dan yang paling jelas sekali adalah Al-Muwafaqat. Al-Muwafaqat merupakan antara rujukan penting dalam ilmu Maqasid Al-Syariah. Jadi, apakah kaitannya dengan kemerosotan wilayah Muslim di Andalusia? 

Lihat kepada nama penuh beliau sendiri. Beliau digelarkan sebagai al-Syatibi. Al-Syatibi merupakan nama Arab bagi bandar Xativa, terletak tidak jauh dari Grenada di mana sandaran ini memungkinkan bahawa beliau dilahirkan di Xativa, atau paling tidakpun berasal dari bandar itu, bandar yang diasaskan oleh umat Islam. Walaubagaimanapun, ada sejarawan menyatakan bahawa di saat Imam al-Syatibi lahir, Xativa telahpun jatuh ke tangan orang Kristian. Ini bermakna, hayat Imam Syatibi berlalu dalam era di mana proses kejatuhan kerajaan kaum muslimin di Al-Andalus sedang berlaku. Kita disinipun sedih mendengarkannya, apatah lagi beliau, yang hidup di zaman itu. 

Tidak sanggup rasanya untuk mengulas tentang kejatuhan Cordova. Ia sangat menyayat hati. Ia bukan perkara yang tidak dapat dijangka, tetapi ianya sesuatu yang memang patut berlaku. Akibat kerancuan politik merebut kuasa, pengaruh dan habuan dunia, Cordova direnggut satu per satu bak domino. Pemimpin generasi akhirnya, tidak lagi memiliki ketaqwaan, tidak lagi bersemangat juang demi agama sepertimana generasi yang mendahului mereka, Tariq Ibn Ziyad. Cordova senasib dengan Saqalibah yang telah lenyap di sapu bersih sehingga hanya tinggal sedikit sahaja kesan-kesan umat Islam. Hampir tiada. Hampir musnah secara total. 

Akhirnya, Cordova hilang dari dakapan kaum Muslimin buat selamanya. 

Tidak ada lagi azan berkumandang di lorong-lorong bandar Isybillya. Tidak ada lagi kedengaran jama'ah-jama'ah, khutbah-khutbah, selawatan, dan ratib-ratib di Masjid agung Cordova. Mihrab-mihrab ditinggal sepi tidak ada lagi kaum muslimin yang berdiri mengingatkan saudaranya akan takut kepada Allah dan kehidupan akhirat. Dinding-dinding kota yang masih tegak berdiri bagai merindukan suara-suara itu. Namun, ia tidakkan kembali. 

Cordova telah meninggalkan kita. Cordova telah pergi buat selamanya. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan