Prolog
Cordova, sebuah nama yang tidak asing lagi dalam lipatan sejarah umat Islam. Kegemilangan tamadun Islam terukir kemas di atas nama ini. Al-Andalus, sebuah negeri yang pernah mewarnai sejarah dunia, di mana kemuncaknya adalah kemuncak umat Islam dalam keilmuan dan ketamadunan. Tatkala mana Eropah yang pada masa kini dipandang tinggi dan menjadi 'kiblat' sebahagian besar umat manusia, masih berada dalam kegelapan dan kemunduran.
Kesan kemajuan umat Islam sewaktu era Al-Andalus, masih lagi dapat dikesan sehingga kini. Tariff, perkataan yang merujuk kepada cukai berasal dari Tarifa, bandar pelabuhan yang bersempena dengan pegawai angkatan Umawi, Tarif Ibn Malik. Tarifa, menjadi wilayah pertama dibuka umat Islam dalam kempen Musa Ibn Nusayr menjatuhkan kekuasaan Visigoth yang semakin rancu.
Begitu juga dengan Gibraltar, nama yang tidak asing lagi bagi peminat sejarah Islam, di mana ianya mengabadikan nama Tariq Ibn Ziyad, "Jabal Tariq" - Bukit Tariq, panglima berketurunan Barbar yang menakluk laluan barat laut dan mendaratkan pasukannya di sebuah semenanjung kecil yang berbukit batu besar.
Begitu juga dengan perkataan "arsenal". Perkataan ini, jika diungkap, pasti ramai yang akan membayangkan pasukan bola sepak inggeris yang mendapat jolokan 'The Gunners" di bawah kelolaan Arsene Wenger. Namun ketahuilah, asal usul "arsenal" adalah "al-Sina'ah", perkataan yang merujuk kepada 'bunker artileri' atau gudang senjata yang merupakan istilah yang digunapakai era Al-Andalus.
Ini hanyalah sebahagian kecil kesan-kesan kemuncak peradaban manusia yang diterajui umat Islam suatu ketika dahulu yang sehingga kini masih terpelihara. Tidak salah untuk kita berbangga dengannya.
Romantis dan puitis merindui Cordova
Sebagai seorang yang romantis dengan zaman emas umat Islam Al-andalus, antara yang memberi kesan yang tertanam dalam jiwa adalah seni binanya. Yakin sekali dikatakan, hatta orang yang tidak kenal tentang sejarah Islam di benua Iberia sekalipun, pasti akan ta'ajub dengan kehalusan seni binanya. Ukiran perkataan 'La Ghaliba Ilallah' -"Tiada kemenangan melainkan kemenangan dari Allah" menambahkan lagi gemersik rindu terhadap permata yang kini telah lenyap dari dakapan kaum muslimin.
Keindahan seni reka Al-Hambra, Fountain of Lions, dan Masjid Agung Cordova, arca-arca gerbangnya, mihrabnya, seandainya dijiwai dengan mendalam, pasti boleh melinangkan air mata. Kerana apa, kerana memikirkan, bagaimana tamadun seagung ini boleh jatuh dan lenyap dari tangan umat Islam?
Mujurlah. Di Malaysia negara kita tercinta ini beberapa tempat yang boleh dilawati dan mengambil inspirasi daripada kegemilangan Islam Sepanyol. Dari sudut reka binaan bangunan, anya disebut "Moorish-style". Lokasi yang paling hampir sekali adalah Astaka Morocco, Putrajaya (di mana gambar ini diambil) merupakan imitasi yang paling dekat dengan seni bina Cordova. Di sini dapat melihat dan memberi secebis suasana Istana Al-Hambra melalui ukiran-ukirannya, jubin-jubin yang tersusun serta arabesque yang memukau jiwa.
Kedua, kompleks ISTAC, Jalan Duta yang di rekabentuk oleh ilmuan agung nusantara, Prof. Dr. Syed Naquib Al-Attas di mana seni binanya mirip kepada istana Al-Hambra, Grenada di mana tengah-tengahnya menempatkan rekaan semula Fountain of Lions.
Dan yang ketiga adalah Masjid Sultan Abdul Aziz, Jalan Templer, kira-kira 20 minit pemanduan dari Universiti Malaya. Mihrab dan hiasan dinding masjid ini cukup indah mengambil inspirasi dari mihrab Bani Al-Ahmar yang meletakkan selangan warna merah pada lengukngan arca gerbang.
Rindu pada Cordova terubat seketika.
Jika ada rezeki, berkunjunglah terus ke bumi Iberia. Pasti lebih banyak ibrah yang dapat dibawa pulang.
Jika ada rezeki, berkunjunglah terus ke bumi Iberia. Pasti lebih banyak ibrah yang dapat dibawa pulang.
Mengimpikan Cordova di Zaman ini
Ya, sudah pasti tiap-tiap umat Islam yang bersemangat waja dan menjiwai sejarah ingin mengembalikan kegemilangan umat Islam. Ingin mengembalikan izzah umat Islam, sebagai umat yang berperadaban tinggi, berdaya intelek, dan tidak miskin jiwa.
Inginku lontarkan persoalan ini. Siapa yang akan dapat mengembalikannya?
Jawapannya adalah tidak lain tidak bukan, kita.
Tiap-tiap kita umat Islam ini, harus memainkan peranan. Bagi yang menuntut ilmu, adalah wajib untuk kita kuasai, tak kira apa lapangannya. Ilmu keduniaan, jika disorot benar-benar, banyaknya dimulai oleh umat Islam sendiri, dan ilmu ini jugalah yang perlu dikuasai dan didominasi umat Islam hari ini. Ia fardhu kifayah, namun bagi yang menceburinya, wajib ke atasnya untuk menjadi seorang yang pakar dalam bidangnya.
Sama-samalah kita berusaha di lapangan masing-masing demi kemajuan umat Islam. Kita juga berdoa' agar izzah umat Islam dikembalikan, sebagaimana hebatnya Cordova di zaman emasnya, bermula dengan membuat perubahan kepada yang lebih baik dan sentiasa mengislahkan diri (muslih), keluarga seterusnya masyarakat. Insya-Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan