Isnin, 16 Disember 2013

Soneta Tercekik (2013)


SONETA TERCEKIK


Makin berkarat taring kuasa
mencengkam erat rakyat jelata;
jikalau tol mahal dirasa,
gunakan saja jalan biasa!


Terkenang zaman Jepun menjajah
tiada sabun, gosok tuala,
dan jika beras melambung juga
makanlah ubikayu semula.


“Kami dengar, kami prihatin”
tertampal di sebanyak dinding,
usahlah susah, janganlah rungsing,
kami simbahkan sebanyak Brim!


Sumber Brim pun amatlah mudah
dikeruk dari sakumu juga.
Hutang negara merayap naik,
itulah nikmat paling baik!


Orang percaya kita berhutang,
rakyat nanti sedia bayarkan.
Dari Sabah sampai ke Perlis,
tidak usah bimbang kita muflis.


Ingatlah segala-gala ini
hingga ke pilihanraya nanti.
Fikirlah waktu membuang undi
supaya tidak tercekik lagi!



Oleh: A. Samad Said (Disember 2013)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan